Sunday, May 20, 2012

Kenali Pokok : Nota 4 - Prinsip Penyakit Tanaman

Prinsip Penyakit Tanaman

Prinsip asas penyakit tanaman adalah siri tindakbalas sel tumbuhan terhadap organisma patogenik atau persekitaran yang boleh mendatangkan kesan terhadap aktiviti normal tumbuhan tersebut.  Penyakit tanaman biasanya dibahagikan kepada dua kategori iaitu penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.
               
Penyakit berjangkit adalah kategori penyakit yang disebabkan oleh faktor biotik atau organisma hidup yang lebih dikenali sebagai patogen. Sebagai contohnya patogen -patogen tersebut ialah organisma daripada kumpulan protozoa, chromista, kulat, bakteria, molikut, virus, viroid dan nematod.
Oleh kerana penyebabnya ialah organisma hidup yang mampu bergerak atau disebarkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, maka inilah yang menyebabkan penyakit ini boleh atau mudah berjangkit kepada tanaman malah kawasan baru. Vektor turut memainkan peranan penting dalam perebakan penyakit jenis ini.
                 
Penyakit tidak berjangkit pula adalah disebabkan oleh faktor abiotik yang merujuk kepada faktor bukan hidup seperti keadaan persekitaran yang tidak sesuai untuk tumbuhan menjalankan aktiviti fisiologinya pada tahap optimum. Sebagai contohnya, apabila berlaku kekurangan air, kekurangan baja, suhu tinggi, kelembapan tinggi, pencemaran udara dan ketoksidan sumber air. Namun dalam kebanyakan hal, kekurangan nutrien yang juga merupakan faktor penyebab kepada penyakit tidak berjangkit lebih mendapat perhatian dalam memperkatakan penyakit jenis ini. Nutrien ini pula boleh didapati daripada faktor biologi daripada sumber semulajadi atau formulasi kimia.

No comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...