Saturday, May 5, 2012

Kenali Pokok : Nota 1 - Penyakit Tanaman

Penyakit Tanaman
 
Dalam kelompok saintis, bidang kajian yang melibatkan penyakit tanaman dikenali sebagai patologi tumbuhan. Istilah patologi tersebut merujuk kepada penyakit tanaman. Istilah yang
digunakan secara meluas dalam rujukan berkaitan penyakit tanaman ini sebenarnya telah menghadkan pencarian ilmu berkaitan penyakit tanaman di Malaysia kerana orang awam tidak begitu mesra dengan istilah tersebut berbanding istilah penyakit tanaman.

Patologi juga membawa maksud penyakit yang disebabkan oleh kulat patogen, bakteria, dan virus secara khusus, manakala penyakit yang disebabkan oleh serangga lebih dikenali sebagai bidang entomologi. Meskipun istilah entomologi secara langsung adalah merujuk kepada serangga secara keseluruhannya, namun dalam bidang pertanian, perbincangan berkaitan serangga, secara langsungnya merujuk kepada serangga yang menyebabkan kerosakan pada tanaman. Dalam buku ini, perbincangan berkaitan serangga merujuk kepada serangga yang menjadi vektor pada ejen penyakit yang lain seperti kulat, bakteria dan virus.

Penyakit tanaman ditafsirkan sebagai satu fenomena yang mengganggu aktiviti fizikal dan fisiologi tanaman yang akhirnya membawa kepada turunnya potensi pertumbuhan atau penghasilan makanan oleh tanaman tersebut. Penyakit tanaman boleh dilihat secara visual berdasarkan simptom (gejala) dan sign (tanda) kehadiran yang ditunjukkan oleh pokok sebagai tindakbalas serangan patogen. Hal ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam bab seterusnya. 

Penyakit tanaman boleh disebabkan oleh beberapa ejen seperti kulat, bakteria, virus, nematod dan serangga serta keadaan persekitaran dan juga nutrien. Namun, dalam buku ini perbincangan lebih menjurus kepada penyakit tanaman yang disebabkan oleh kulat, bakteria, virus, nematod dan sebahagian kecil menyentuh perkaitannya dengan serangga yang menjadi vektor penting kepada patogen penyebab penyakit. Kaedah kawalan penyakit akan turut dibincangkan dalam bab dua dan bab lima, memandangkan ia berkait langsung dengan penyakit tanaman.

No comments:

Post a Comment

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...